Sunday, February 26, 2012

NIK AZIZ DAN AIR BERSIH. PILIHLAH YANG MANA SATU….



Salam semua®…
Rakyat Kelantan selama dua dekad terpaksa menggunakan air kotor untuk kegunaan harian, hilang sabar apabila lebih 3,000 orang berhimpun secara aman di Lembah Sireh di sini hari ini bagi mendesak kerajaan Pas menyerahkan pengurusan air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Perhimpunan anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) itu mendesak Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyerahkan masalah air kepada SPAN dalam tempoh sebulan, jika tidak satu perhimpunan besar-besaran membabitkan 10,000 orang akan diadakan di hadapan pejabat beliau di Kota Darulnaim di sini.

Presiden MTRK, Azmi Ali berkata, satu memorandum dihantar kepada Nik Aziz bagi tujuan sama pada 4 November tahun lalu, bagaimanapun ia tidak diendahkan langsung yang membuktikan kerajaan negeri tidak serius dalam menangani masalah tersebut.

"Dulu kita datang ke pejabat beliau bersama kira-kira 500 orang menghantar memorandum, tetapi tidak dilayan kerana pemimpin Kelantan menganggap MTRK hanyalah sebuah pertubuhan kecil yang tidak perlu dipandang.

"Jadi hari ini sudah terbukti rakyat Kelantan menyambut baik dan menyokong MTRK yang bukan parti politik tetapi hanya mendesak kerajaan negeri agar menyelesaikan masalah air yang sudah berlarutan bertahun lamanya," katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan itu.

Pada perhimpunan yang bermula pukul 10 pagi itu, MTRK turut melancarkan kempen mengumpul sejuta tandatangan sebagai sokongan rakyat untuk mendesak kerajaan negeri menyegerakan penyerahan pengurusan air itu kepada SPAN.

Utusan Malaysia tahun lalu menyiarkan laporan khas empat siri mengenai kualiti rendah bekalan air bersih di Kelantan akibat kegagalan pengurusan kerajaan negeri dan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ainizam Md. Abd. Rahman sebelum ini pernah menyatakan masalah air yang berlaku hanya mampu diselesaikan pada tahun 2027.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, ini adalah masanya rakyat perlu menukar dan menumbangkan Kerajaan Pas Kelantan kerana sudah terbukti mereka gagal dalam banyak perkara meskipun ia sangat penting.

"Kita sudah ditipu dengan pelbagai janji dan slogan. Mereka berkata membangun bersama Islam, negara berkebajikan, kebajikan apakah yang diberi kepada rakyat Kelantan sekarang?

"Mereka harus ingat pada 1978 Pas pernah tumbang disebabkan isu balak, jadi sekarang kita beri amaran masalah air ini perlu diselesaikan jika tidak perkara sama akan berulang," katanya. - Utusan

Komen Penulis
Di zaman yang penuh mencabar serta serba moden dan pantas ini, penulis boleh lagi menerima alasan kegagalan sesetengah kerajaan negeri jika mereka gagal menyediakan kemudahan awam misalnya jalan berturap, pembinaan jambatan, lampu jalan, masalah penyediaan perumahan kos rendah dan lain-lain lagi dengan alasan kurangnya peruntukan dan hasil negeri bagi tujuan tersebut.
Tetapi, penulis betul-betul tidak boleh terima dengan lojik akal jika alasan yang yang sama diberikan oleh kerajaan PAS negeri Kelantan jika mereka gagal menyediakan air bersih untuk kegunaan rakyatnya walaupun telah  lebih 21 tahun memerintah negeri Kelantan. 

Berbanding dengan negeri-negeri lain di semenanjung, kenapa rakyat negeri Kelantan masih lagi dibelenggu dengan masalah mendapat bekalan air bersih ini?  ‘Koman’ betullah kata orang Pulau Pinang.
His malulah, mana hendak diletakkan muka, jika pimpinan kerajaan PAS Kelantan langsung tidak mahu mengambil berat jika kualiti air di Kelantan sendiri sama tarafnya dengan kualiti air yang terdapat di sesetengah negara mundur seperti di negara-negara di Afrika ?.
Air bersih adalah keperluan harian utama manusia maka, ianya menjadi perkara wajib bagi kerajaan PAS Kelantan menyediakan kepada rakyatnya. Langsung tidak ada kompromi dalam hal ini!...
Apa yang susahnya  sangat untuk menyediakan air bersih ini? Sampai hati  Nik Aziz dan anggota Exconya kerana tergamak membiarkan rakyat Kelantan selama lebih dua dekad terpaksa menggunakan air kotor untuk kegunaan harian mereka.
Bagaimana kerajaan PAS Kelantan boleh bercita-cita hendak menakluk Putrajaya jika masalah air bersih kegunaan rakyatnya sendiri masih lagi gagal diuruskan dengan baik?
Tidak perlulah mereka bermegah-megah dengan kecekapan pemerintahan mereka membangun bersama Islam, jika masalah air bersih yang menjadi perkara asas kepada semua orang inipun, gagal diurus dengan baik terutamanya oleh barisan pimpinan Nik Aziz dan Exco-exconya.
Nasihat penulis kepada Nik Aziz, keluarlah dan dengarlah masalah dan rintihan rakyat. Kasihanilah di atas kepayahan mereka selama ini dan bertindaklah kepada kaedah untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi menangani masalah utama yang menimpa rakyat Kelantan selama ini.
Secara perbandingannya, kalaulah di zaman Khalifah Umar dulu, akibat daripada terlalu memikirkan masalah dan kebajikan rakyatnya, membuatkan beliau sendiri kadang-kadang tidak nyenyak tidur. Tetapi, dalam kes masalah air kotor di Kelantan ini, bolehkan Nik Aziz nyenyak tidur bila hanya 3,000 orang daripada sebilangan besar rakyatnya berhimpun secara aman di Lembah Sireh bagi menyatakan masalah mereka?
Kerajaan PAS Kelantan perlu ikhlas dalam tindakan mereka. Kalaulah mereka masih buntu dan sudah tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan, janganlah malu-malu dengan ketidakupayaan sendiri sebaliknya  bersedia  menyerahkan pengurusan air ini kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Itulah jalan yang terbaik.  Nasihat penulis, lupakanlah saja soal politik buat sementara waktu ini.

lannkb

No comments: